melihat | merenung | menilai

melihat | merenung | menilai

Friday, October 14, 2011

Dah Setahun Kerja Rupanya...

Urghhh!..gatal tangan sangat nak menulis malam ni..walaupun agak "blurr" tapi tak dapat nak mengelakkan diri untuk menulis.

Malam ni aku nak menulis pasal pengalaman aku bila dah setahun lebih bekerja. semenjak keje ni barula aku dapat rasa betapa berbezanya hidup masa belajar dekat UiTM dulu. bila keje ni kena pandai bawak diri, kena blaja cara untuk "survive" dan kena pandai buat keputusan. hidup pun kena bergaul dengan macam - macam orang. kalau dulu kat universiti semuanya melayu, sekarang ni dah ade semua kaum. kalau tak pandai bergaul memang tak leh nak tahan lama.

Bila dah setahun kerja barula aku dapat lihat macam-macam perangai manusia ni sebenarnya. maklumlah keje pun customer services, dalam pejabat ade beratus umat manusia yang datang dari latar belakang yang berbeza. lagi ditambah plak dengan "nature" keje aku yang memerlukan ketahanan mental yang kuat. kadang-kadang dalam ofis rasa macam dok kat penjara or hospital mental..hehehe..selain dari tu, aku suka bab politik kerja yang banyak mengubah aku dari seorang "lone ranger" untuk mencari kawan - kawan. memang dasat politik kerja ni, aku ingat drama melayu tu menipu, tapi rupanya memang betul.

Sayangnya aku tak dapat nak share lebih-lebih pasal keje sebab ni tempat aku mencari rezeki. yang penting aku kena pandai bawak diri dan aku berharap aku dapat jadi "somebody" kat tempat keje tu supaya aku dapat mengubah ape yang dirasakan tak betul. aku memang sayangkan "company" aku dan mengharap ianya akan jadi yang terbaik satu hari nanti..

Cerita malam ni memang agak umum dan tak "best" langsung. saja je nak meluahkan perasaan geram untuk menulis..heheh..selamat malam kawan-kawan..=)

Selepas setahun..Post pertama 2011!

Dah lama sangat tak jenguk blog ni semenjak aku keje..last skali aku post jun 2010. Sekarang ni dah masuk bulan oktober 2011. Maklumlah keje customer services, memang lembab sket otak ni sebab pas keje penat mental. sekarang ni pun dah tak banyak ikut dan baca bahan-bahan ilmiah macam "time" blaja dulu. sekarang ni tiba-tiba je terdetik nak menulis balik, tapi bahan plak takde.

Pada sesiapa yang pernah baca blog ni terima kasih diucapkan. tak sangka ade org baca dan follow blog ni. terima kasih sekali lagi. rasanya tu je kot untuk hari ni..rasa "blurr" sangat nak menulis malam ni..selamat malam!

Monday, June 7, 2010

Fakta Calon "Golden Foot Awards" 2010 (2)

Hari ini aku akan sambung topik yang lepas iaitu mengenai calon "Golden Foot Awards" 2010.

1. David Beckham (Right Winger, LA Galaxy)

Antara sayap kanan yang digeruni dalam Liga perdana Inggeris di mana Beckham mempunyai kelebihan dari aspek ketepatan hantaran lintang dan juga lencongan sepakan percuma yang mampu mengugat penjaga gawang mana-mana pasukan. Memulakan karier bersama Manchester United pada musim 1995/96 di mana ketika itu United berjaya memenangi kejuaraan berganda Liga Inggeris dan Piala FA. Karier Beckham melonjak naik ketika membantu Manchester United menjuarai "treble" Liga Inggeris, Piala FA dan Liga Juara-Juara pada tahun 1999. Hasilnya, Beckham telah dicalonkan sebagai pemain terbaik dunia namun tewas ditangan Rivaldo tetapi mendakap anugerah sebagai pemain terbaik Eropah pada musim yang sama. Dia juga sekali lagi dicalonkan sebagai pemain terbaik dunia pada tahun 2001 namun kali ini sekadar di tempat kedua di belakang Luis Figo. Pada musim 2002/03 dia telah berpindah ke Real Madrid setelah berlaku perselisihan faham dengan pengurus Alex Ferguson. Di Real, Beckham telah menjadi sebahagian dari "Galacticos" disamping Zidane, Ronaldo dan Figo. Setelah 4 tahun yang mengecewakan di Madrid, Beckham telah berpindah ke Major League Soccer (MLS) bersama kelab LA Galaxy. Untuk rekod, Beckham juga telah dipinjamkan ke AC Milan sebanyak 2 kali pada musim 2008/09 dan 2009/10. Bersama England pula Beckham adalah pemain yang mempunyai cap kedua terbanyak setelah 14 tahun bersama "the Three Lions" dan malang baginya kerana tidak dapat beraksi di Piala Dunia 2010 setelah mengalami kecederaan kaki.

2. Gianlugi Buffon (Goalkeeper, Juventus)

Buffon dianggap sebagai penjaga gol terbaik pada abad ini oleh kebanyakkan pemain, penyokong dan wartawan sukan. Memulakan kariernya seawal umur 17 tahun bersama Akademi remaja Parma pada tahun 1995, dan pada tahun yang sama menyertai skuad utama ketika menentang AC Milan. Dia juga adalah antara pemain penting ketika Parma menjuarai kejohanan UEFA cup pada tahun 1999. Semenjak dari itu, dia telah mencipta nama di Eropah sebagai antara penjaga gol yang terbaik dan pada tahun 2001 Juventus telah menyambar Buffon dengan rekod harga sebanyak 32 juta pound. Buffon telah menjadi penjaga gol paling mahal di dunia yang mana sehingga sekarang masih belum ada yang dapat memecahkan rekod tersebut. Buffon membuktikan bahawa nilai yang diletakkan ke atasnya adalah setimpal setelah membantu Juventus memenangi Scudetto dan yang paling utama ialah memastikan gawang Itali hanya dibolosi 2 kali (gol sendiri dan penalti) ketika Itali menjuarai trofi Piala Dunia buat kali keempat. Buffon juga telah banyak mengumpul pingat persendirian antaranya penjaga gol terbaik UEFA, Anugerah Lev Yashin dan juga penjaga gol terbaik dunia IFFHS.

3. Didier Drogba (Striker, Chelsea)

Kekuatan fizikal, teknik kawalan bola serta sepakan padu adalah aset utama Didier Drogba yang seringkali menghantui pertahanan dan pejaga gawang pihak lawan. Mencipta reputasi sebagai antara penyerang terbaik di dunia, Drogba adalah tonggak yang telah banyak membantu Chelsea menjadi antara pasukan yang digeruni di Eropah. Karier awalnya tidak seperti yang diharapkan terutamnya ketika beraksi bersama Le Mans. Namanya mula digeruni ketika umurnya 25 tahun setelah menjaringkan 17 gol bersama Guingamp. Marseille telah membeli Drogba pada musim berikutnya, namun hanya bertahan selama satu musim setelah menerima tawaran sebanyak 24 juta Pound dari Chelsea yang ketika itu dibimbing oleh Jose Mourinho. Dari seorang pemain yang kurang dikenali, Drogba telah menunjukkan kehebatan sebenarnya ketika beraksi di Liga Inggeris setelah membantu Chelsea menjuarai liga 2 kali berturut-turut serta menjadi penjaring ketujuh terbanyak sepanjang zaman di Chelsea. Di arena antarabangsa, Drogba telah membantu Ivory Coast layak ke kejohanan Piala Dunia buat pertama kali pada tahun 2006 setelah menjaringkan 5 gol buat pasukannya. Ivory Coast sekali lagi layak ke Piala Dunia pada 2010 juga dengan bantuan gol dari Drogba dan kali ini sebagai kapten pasukan tersebut. Malangnya bagi Drogba, dia belum pernah merasai kejuaraan utama di Eropah iaitu Liga Juara-Juara walaupun pada musim 2009/10 dia telah membantu Chelsea menjadi juara berganda Liga Inggeris buat kali pertama setelah menjadi penjaring terbanyak liga dengan 28 gol.

4. Samuel Eto'o (Striker, Inter Milan)

Tidak dapat disangkal lagi bahawa Eto'o adalah antara penyerang paling berbisa di dunia dan juga Eropah. Walaupun Eto'o telah banyak membantu kelab seperti Real Madrid, Real Mallorca, dan Barcelona, namanya seringkali tenggelam dan kurang popular dikalangan penyokong kelab-kelab terbabit. Memulakan keriernya bersama Real Madrid pada tahun 1997, Eto'o adalah tonggak yang dianggap tidak penting oleh Les Merengues ketika menjuarai Liga Juara-Juara pada tahun 2000. Eto'o telah dijual ke Mallorca di mana dia telah membantu Mallorca bermain dalam Liga Juara-Juara. Ketika di Mallorca, Eto'o telah menjaringkan 54 gol dalam 133 perlawanan liga (penjaring terbanyak sepanjang zaman Real Mallorca). Namanya mula dikenali ketika bersama Barcelona apabila dia telah menjaringkan gol penting ketika perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah tahun 2006 dan 2009. Disamping itu, gol-golnya juga memberikan Barcelona kejuaraan liga pada tahun 2005, 2006 dan 2009. Kemuncak kariernya hadir pada musim 2008/09 di bawah bimbingan Pep Guardiola apabila menjadi antara penjaring terbanyak La Liga dan menjuarai 6 piala keseluruhan bersama Barcelona pada musim yang sama. Akibat dari sikap penonton yang bersifat perkauman, Eto'o telah berpindah ke Inter Milan pada musim 2009/10. Pada musim pertamanya di sana, Eto'o telah membantu Inter memenangi kejuaraan "treble" buat kali Pertama termasuk Liga Juara-Juara Eropah setelah 45 tahun menunggu. Di peringkat antarabangsa pula, Eto'o juga turut menyerlah setelah memenangi pingat emas Olimpik tahun 2000, 2 kali Piala Afrika, 2 kali penjaring terbanyak Piala Afrika, 3 kali pemain terbaik Afrika dan menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman untuk Cameroon.

5. Steven Gerrard (Center Midfielder, Liverpool)

Stevie G telah menjadi nadi utama pasukan Liverpool sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kariernya bermula pada tahun 1998 bersama Liverpool. Dia menjadi kapten "the Reds" pada tahun 2002 di mana pada tahun-tahun berikutnya, dia telah menyumbangkan pelbagai kejuaraan untuk Liverpool seperti Piala FA Inggeris, Piala UEFA, Piala Super Eropah serta Liga Juara-Juara Eropah. Sumbangan Gerrard yang paling diingati adalah pada tahun 2005 ketika Liverpool berhadapan AC Milan pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah di Istanbul. Gerrard telah mengawal hampir setiap posisi di atas padang walaupun ketinggalan 3-0 pada separuh masa pertama. Dengan masa perlawanan hanya berbaki 6 minit, Gerrard telah menunjukkan semangatnya sebagai kapten pasukan apabila menggerakkan seluruh pasukannya untuk menyamakan kedudukan menjadi 3-3. Liverpool akhirnya memenangi perlawanan tersebut menerusi sepakan penentuan penalti. Kariernya bersama England bermula pada tahun 2000 dan setelah 10 tahun bersama "Three Lions", Gerrard telah diberi kepercayaan untuk menjadi kapten pasukan pada Piala Dunia 2010 menggantikan Rio Ferdinand yang cedera pada saat akhir.

Sekian entry terbaru dari aku, jangan lupa mengundi untuk calon-calon pilihan korang di laman web Golden Foot. Sekian dari aku..chow!..salam.

Saturday, June 5, 2010

Fakta Calon "Golden Foot Awards" 2010 (1)

Hari ini aku akan mendedahkan sikit fakta pemain bolasepak yang dicalonkan bersempena dengan "Golden Foot Awards" 2010 yang akan berlangsung nanti.

1. Francesco Totti (Attacking Midfielder, AS Roma)

Pemain dari Rome ini adalah antara attacking midfielder terhebat yang pernah disaksikan pada abad ini. Beliau telah menjadi kapten (Il Capitano) pasukan Roma semenjak berumur 22 tahun hingga sekarang (34 tahun). Totti hanya bermain untuk AS Roma dan Itali sepanjang karier yang bermula ketika berumur 16 tahun. Pencapaian tertingginya adalah memenangi Piala Dunia 2006 bersama Itali yang mana pada tahun berikutnya beliau telah mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa untuk menumpukan perhatian pada AS Roma. Totti pernah menjadi penjaring terbanyak Serie A dan Eropah pada musim 2006/07 iaitu dengan 26 gol. Selain itu, Il Capitano juga adalah penjaring terbanyak sepanjang masa ketika ini untuk AS Roma walaupun posisinya adalah sebagai pembantu penyerang.

2. Clarence Seedorf (Attacking Midfielder, AC Milan)

Pemain veteran dari Belanda yang cukup digeruni di arena bolasepak Eropah dan antarabangsa kerana skil dan kemampuannya menjaringkan gol dari bahagian tengah. Seedorf memulakan kariernya bersama gergasi Belanda iaitu Ajax Amsterdam pada tahun 1992 yang ketika itu dibarisi dengan pemain muda berbakat seperti Marc Overmars dan Van Der Sar. Seedorf merupakan pemain termuda beraksi untuk kelab Ajax pada umur 16 tahun. Beliau memenangi kejuaraan Eropah kali pertama bersama Ajax di bawah bimbingan Louis Van Gaal dan seterusnya mengembangkan kariernya di Sampdoria. Selepas satu musim, beliau kemudiannya berpindah ke Real madrid di bawah bimbingan Fabio Capello dan kejuaraan Eropah kedua muncul bersama Real pada tahun 2000. Seedorf kembali ke Itali bersama kelab Inter Milan dan kemudiannya dijual ke AC Milan pada tahun 2002. Bersama Rossoneri beliau telah bermain dalam tiga perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (2003,2005,2007) dan memenangi dua piala tersebut pada tahun 2003 dan 2007. Beliau telah memenangi empat piala Liga Juara-Juara bersama tiga kelab berbeza iaitu Ajax, Real Madrid dan AC Milan.

3. Raul Gonzalez Blanco (Striker, Real Madrid)

Para Madridistas mungkin lupa bahawa ikon mereka Raul Gonzalez sebenarnya memulakan kariernya bersama kelab musuh setempat iaitu akademi remaja (Infantil) Atletico Madrid pada umur 13 tahun dan bapanya juga adalah peminat setia Rojiblancos. Setelah menganggap dirinya ditipu oleh presiden Atletico, Raul telah menerima tawaran untuk bermain bersama Real Madrid pada tahun 1995 dan memulakan aksi pertama ketika umurnya 17 tahun. Beliau merupakan pemain termuda beraksi bersama Real madrid. Namun begitu pada saat itu Real Madrid berada dalam zaman gelapnya di mana kejuaraan Eropah terakhir yang dikecap adalah pada tahun 1966 dan La Liga pula pada tahun 1990. Raul telah mengubah sejarah Real Madrid dalam sekelip mata dengan memberikan kejuaraan La Liga selepas 5 tahun menanti tetapi mereka perlu menunggu 3 tahun berikutnya untuk kembali menjadi juara Eropah iaitu pada tahun 1998. Ketika bersama Real Madrid, Raul telah berjaya memenangi 3 Liga Juara-Juara Eropah iaitu pada tahun 1998, 2000 dan 2002. Walaupun dikelilingi oleh pemain berstatus "Galacticos", Raul tetap menyerlah dengan menjadi penjaring terbanyak Liga Juara-Juara dengan 66 gol serta menjadi ikon Real Madrid setelah beraksi sebanyak 74o perlawanan untuk Los Merengues.

4. Carles Puyol (Defender, Barcelona)

Carles Puyol adalah pemain yang cukup versatil dari awal kariernya dari kecil sehingga sekarang. Dengan kepantasan dan kekuatan fizikalnya, beliau mampu mengemudi setiap posisi dengan baik terutamanya di bahagian pertahanan. Memulakan kariernya sebagai penjaga gol dan penyerang sebelum dipanggil menyertai Barcelona pada tahun 1995 bersama akademi remaja Barcelona. Debutnya bersama skuad utama Barcelona adalah pada tahun 1999 di bawah bimbingan Louis Van Gaal dalam aksi La Liga. Di awal kariernya, beliau banyak beraksi di posisi pertahan kanan, namun begitu setelah kehadiran Frank Rijkaard beliau menjadi nadi pertahanan tengah La Blaugrana dan Sepanyol sehingga sekarang. Pencapaian tertingginya adalah memenangi Kejohanan Eropah (EURO 2008) bersama skuad berbakat La Furia Roja. Beliau pernah memenangi 2 Liga Juara-Juara Eropah iaitu pada tahun 2006 dan 2009. Puyol adalah salah seorang pemain penting dan kapten skuad Barcelona pada musim 2008/09 di bawah bimbingan Pep Guardiola di mana Barcelona telah memenangi kesemua 6 piala yang ditawarkan pada musim tersebut iaitu satu rekod dalam sejarah bolasepak.

5. Ryan Giggs (Left Winger, Manchester United)

Lagenda dan salah satu ikon yang dibanggakan oleh the Red Devils pada abad ini. Giggs merupakan seorang yang setia bersama Manchester United di mana dia hanya menghabiskan kariernya bersama United dan Wales. Giggs merupakan pemain United yang paling banyak memenangi kejuaraan utama bersama kelab tersebut (3o piala). Untuk rekod juga, Giggs merupakan pemain yang paling banyak memenangi Liga Perdana Inggeris iaitu 9 kali semenjak di tukar ke format baru. Antara rekod lain ialah beliau menjadi pemain United yang paling banyak beraksi dalam pelbagai kejohanan bersama Red Devil mengatasi lagenda Bobby Charlton (830 perlawanan) serta menjadi salah seorang pemain yang mengecapi "treble" pada tahun 1999. Seorang genius di atas padang, Giggs adalah contoh terbaik bagi pemain muda di mana beliau sendiri pernah memenangi anugerah pemain muda tahunan sebanyak 2 kali berturut-turut (juga satu rekod). Malang bagi Giggs, karier antarabangsanya bersama Wales tidak dapat dibanggakan dan beliau membuat keputusan untuk bersara dari skuad Wales pada tahun 2007.

Sampai di sini sahaja dahulu sebahagian dari profil calon "Golden Foot Awards" 2010 di mana calon selebihnya akan dipaparkan dalam chapter 2 nanti. Sekian..chow!..salam.





Friday, June 4, 2010

Cerita hangat bolasepak sebelum Piala Dunia 2010

Post kali ini aku akan sediakan beberapa cerita hangat bolasepak sebelum bermulanya Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Macam-macam hal yang berlaku sebelum bermulanya Piala Dunia. Antara yang menarik perhatian adalah berita perpindahan pemain utama di Eropah seperti David Villa dan Fabregas. David Villa secara sahnya telah menjadi pemain Barcelona dengan bayaran 35 juta Euro. Hal ini telah meletakkan tanda tanya akan nasib nasib Thierry Henry dan Zlatan Ibrahimovic yang mana Henry dikhabarkan akan meneruskan permainannya di Amerika Utara (MLS) dan Ibrahimovic pula menjadi sasaran Manchester City. Di sini aku akan lengkapkan post kali ini dengan cerita hangat yang lain secara ringkasnya:

1. Perpindahan Fabregas ke Barcelona

Fabregas dilaporkan telah menyatakan hasratnya untuk ke Barcelona kepada Arsene Wenger. Barcelona telah membuat tawaran rasmi kepada Arsenal beberapa hari yang lalu namun ditolak mentah-mentah buat kali pertama. Yoann Gourcuff dari Bordeux dikatakan menjadi pilihan utama Wenger jika Fabregas berpindah ke Barcelona di mana dia telah menjadi penyumbang utama kepada gol-gol Chamakh sewaktu menjadi rakan sepasukan di Bordeux.

2. Benitez tarik diri dari Liverpool

Benitez secara rasminya telah menarik diri dari menjadi jurulatih Liverpool setelah mengemudi kelab itu selama 6 musim dan telah dibayar pampasan sebanyak 3 juta Pound oleh Liverpool. Dikhabarkan dia akan menyertai Inter Milan menggantikan Mourinho yang berpindah ke Real Madrid.

3. Mourinho dan Real Madrid

Mourinho secara rasminya telah menjadi jurulatih Real Madrid dan ini merupakan liga Eropah ke empat baginya sebagai Pengurus Pasukan setelah memenangi kejuaraan Liga Portugal, Liga Perdana Inggeris dan Serie A. Mourinho telah menyatakan perkara pertama yang harus dilakukan adalah mencari bek kanan dan kiri di mana Maicon dan Ashley Cole menjadi sasarannya.

4. Gerrard ke Real madrid?

Steven Gerrard dilaporkan menjadi pilihan utama Mourinho untuk mengemudi bahagian tengah Real madrid disamping bekas rakan sepasukan iaitu Xabi Alonso. Mourinho adalah peminat utama Gerrard yang mana dia pernah mengemukakan tawaran rasmi kepada Liverpool sewaktu menjadi jurulatih Chelsea tetapi telah ditolak.

5. Diego Maradonna akan berbogel jika Argentina menang Piala Dunia 2010

Lagenda dan jurulatih pasukan Argentina berjanji kepada media bahawa dia akan berbogel di sekitar Buenos Aires jika Argentina memenangi Piala Dunia 2o1o. Jika menang dia akan mengikuti jejak langkah Mario Zagallo dan Franz Beckenbaeur sebagai individu ketiga yang memenangi Piala Dunia sebagai kapten dan jurulatih.

6. Komen negatif terhadap bola rasmi Piala Dunia 2010 Adidas Jabulani

Terdapat banyak komen negatif yang diterima oleh pihak Adidas dan penganjur Piala Dunia 2010 terhadap bola rasmi "Jabulani" yang mana kestabilan dan berat bola tersebut telah menjadi isu utama. Jika bola Piala Dunia 2006 iaitu "Teamgeist" menjadi rungutan penjaga gol seperti Lehman kerana susah untuk dikawal, Jabulani telah menjadi rungutan pemain utama dunia seperti Casillas, Buffon, Julio Caesar dan juga Pirlo kerana beratnya yang sangat ringan seperti bola tampar. Namun begitu jurucakap Adidas, Thomas Van Schaik mengatakan bahawa bola ini telah digunakan sebelum bermulanya Piala Dunia dan telah diuji oleh pakar. Namun begitu, kebanyakkan liga utama Eropah menggunakan bola tajaan Nike iaitu Total 90. Untuk rekod bola Teamgeist telah terjual sebanyak 9 juta unit.





Wednesday, June 2, 2010

Dilema Peniaga Runcit Asas Tani

Hari ini aku ingin berkongsi sedikit cerita mengenai dilema yang dihadapi oleh segelintir peniaga runcit barangan pertanian yang jarang didengar memandangkan tidak ramai yang menceburi bidang ini. Barangan pertanian yang dimaksudkan adalah seperti baja, racun, makanan ternakan dan pelbagai peralatan yang digunakan untuk bertani. Cerita ini berlaku di negeri Kelantan yang mana ramai golongan miskin bertani sebagai sumber utama untuk mencari rezeki.

Ada beberapa masalah yang menimpa peniaga kedai runcit asas tani di negeri ini. Bukan mudah untuk menjadi peruncit barangan pertanian memandangkan terdapat beberapa halangan yang besar.

Isu 1:

Pertama sekali melibatkan agensi kerajaan yang menjual serta membekalkan alatan pertanian untuk para petani. Contohnya seperti KADA dan PELADANG. Agensi seperti ini menjadi pesaing utama kepada peruncit asas tani kerana mereka mampu membekalkan pelbagai jenis barang yang modalnya dibekalkan oleh kerajaan. Namun begitu, ada sesetengah barang yang dibekalkan lebih mahal dari kedai runcit asas tani seperti benih padi. Apabila ramai petani yang merungut tentang harga benih yang mahal, mereka berubah angin untuk membeli di kedai asas tani lain di mana harganya jauh lebih murah. Malangnya, dengan kuasa yang ada, pihak berwajib telah mengeluarkan pekeliling untuk menyekat penjualan benih padi oleh peruncit yang tidak bernaung di bawah agensi kerajaan. Hal ini telah menutup periuk nasi sesetengah peruncit yang tidak mempnyai kuasa atau kabel.

Isu 2:

Selain dari persaingan dari agensi kerajaan, masalah yang dihadapi oleh peniaga adalah keadaan harga yang tidak stabil dan tidak dikawal. Barang-barang tersebut adalah seperti baja, racun, makanan ternakan dan tanah semaian. Ini mungkin masalah paling besar pada peruncit asas tani kerana mereka tidak mempunyai kuasa untuk menyekat kenaikan harga barang ini yang didominasi oleh pengilang dan pengedar yang kebanyakkannya datang dari utara dan barat semenanjung. Harga yang naik pula kadangkala boleh mencecah 100% sehingga boleh menjejaskan modal pusingan peruncit. Untuk memborong barangan tersebut pada harga pukal pula melibatkan kos yang tinggi walaupun pada modal yang paling minimum (lebih kurang RM150000). Ini merupakan faktor utama mengapa hanya ada beberapa syarikat sahaja yang membekal barangan pertanian di negeri Kelantan dan majoritinya masyarakat cina yang sudah lama bertapak dalam bidang ini. Harga barangan ini juga naik pada kadar yang singkat. Contohnya pada hari ini, harga baja ialah RM75 dan dua minggu kemudian harga itu boleh meningkat menjadi RM100 serta RM130 pada minggu seterusnya. Hal ini tidak berhenti begitu sahaja kerana pada bila-bila masa sahaja harga tersebut boleh turun atau naik. Bayangkan jika peruncit membeli pada harga borong RM130 dan pada minggu berikutnya harga tersebut turun menjadi RM100. Adakah petani yang sanggup membelinya? Bagaimana pula nasib peruncit?

Isu 3:

Perkara

Hal ketiga pula adalah mengenai subsidi baja dan peralatan pertanian kepada petani. Subsidi ini kadangkala tidak efisien dan tidak sampai kepada petani yang betul-betul memerlukan. Hasilnya, banyak lebihan baja yang tidak digunakan dan dibazirkan. Kadangkala mereka ini pula yang menjual kembali pada peruncit barang-barang tersebut pada harga yang jauh lebih murah. Selain itu pula, cara pemberian subsidi ini telah melumpuhkan perniagaan peruncit asas tani kerana petani tidak akan membeli barang dari peruncit memandangkan agensi kerajaan dan pihak berwajib yang lain akan membekalkan barangan tersebut kepada mereka. Dicadangkan agar sistem kupon diwujudkan dan setiap petani hendaklah menebus kupon-kupon ini di kedai runcit asas tani kerajaan atau bukan kerajaan. Hal ini akan membolehkan setiap keuntungan dikongsi bersama sama ada peruncit atau petani atau kerajaan yang mana setiap subsidi itu kuranglah pembazirannya.Dengan sistem yang sedia ada, peruncit persendirian berasa kerugian yang besar.

Isu 4:

Isu yang keempat melibatkan birokrasi dari sesetengah agensi kerajaan terutamanya pihak yang membiayai pinjaman. Masalah besar yang dihadapi oleh peruncit apabila pihak pembiaya lambat memberi pinjaman. Contohnya jika peruncit ingin membuat pinjaman sebanyak RM20000 sebagai modal pusingan, pinjaman tersebut memakan masa yang lama untuk diluluskan. Ada sesetengah kes yang berlaku apabila pinjaman diluluskan, nilai modal tersebut susut disebabkan susutnya nilai matawang. Hal ini terjadi disebabkan oleh masalah ekonomi serta inflasi barangan pertanian yang tidak pernah reda. Kesan dari masalah ini, dengan modal RM20000 itu, jumlah barang yang ingin dibeli kurang kuantitinya dari kuantiti asal. Sudahlah pinjaman yang diluluskan lambat, tetapi apabila ingin mengutip hutang selalunya mereka ini datang tepat pada masanya. Bila peminjam menghadapi masalah, mereka bukannya membantu tetapi menyalahkan peminjam walaupun rekod peminjam sangat baik dari segi pembayaran balik pinjaman.

Kesimpulan:

Masalah yang dinyatakan di atas, bukan datangnya dari internet, tapi ini adalah realiti hidup peruncit asas tani. Cukup malang apabila ada sebuah kedai asas tani yang pernah mengecap hasil sehingga RM1000 sehari terpaksa ditutup akibat dari pelbagai masalah luaran yang seperti tiada jalan penyelesaiannya. Sebuah kedai lagi mungkin mengalami nasib yang sama jika tiada tindakan susulan. Pelbagai cara telah difikirkan, pelbagai agensi telah ditemui malangnya tiada yang dapat membantu. Sesiapa yang membaca blog ini aku harap dapat memberikan pendapat dan pandangan kerana mungkin ada idea dari korang yang dapat membantu..sekian..chow!..Salam.

Tuesday, June 1, 2010

Mengharapkan Ahli Politik yang Baik Hati

Semenjak dua menjak aku jadi aktif nak menulis pasalnya dah sebulan aku tinggalkan blog ni. Kepada yang membaca, terima kasih. Sori ler sebab blog ni tak cerita pasal gosip artis, lucah, trend make up atau berpakaian serta diari hidup seharian (aku tau blog-blog mcm tu ramai peminat).

Apa yang aku tulis ni adalah berdasarkan pandangan aku terhadap sesuatu isu dan ingin dikongsi bersama rakan-rakan yang lain sebab setahu aku ramai budak-budak u sekarang yang dah berfikiran jauh dan terbuka. Kali ini aku nak bercakap pasal orang politik. Politik sekarang dah menjadi satu isu yang hangat di negara kita. Sejak akhir-akhir ni banyak isu berkaitan orang-orang politik dan pilihanraya. Satu perkara yang amat menarik adalah bilangan pilihanraya kecil yang makin bertambah disebabkan kematian dan sebagainya. (korang perasan tak hal ni?)

Aku kecewa bila tengok orang politik sekarang yang mana semangat nasionalisme diorang dah makin berkurang. Apa yang aku tengok orang sekarang ni berpolitik disebabkan nak duit, kuasa dan publisiti. Lagi satu aku tengok banyak sangat penipuan dalam politik sekarang. Dah takde halatuju selain untuk kepentingan sendiri dan orang-orang mereka. Diorang ni sedar ke sapa yang pilih diorang?

Diorang ni aktif bila ada pilihanraya, time tu habis duit pembayar cukai diorang guna,rasuah untuk menang pilihanraya, yang tanggung beban adalah rakyat sendiri. Bila dalam parlimen apa yang diorang bisingkan?..mencarut,bergaduh sama sendiri, isu-isu peribadi macam orang takde otak. Yang pegang portfolio kebanyakkannya takde kelulusan berkaitan dengan portfolio yang dipegang. Polisi dan dasar negara bertukar tiap kali tukar menteri sebab ada diorang kisah??. Money first rakyat later..ramai peniaga gulung tikar atas sebab polisi dan dasar yang tak relevan dan berubah-ubah. Duit dihabiskan untuk kroni, projek tak berfaedah dan pembelian yang tak perlu. Yang best bila dalam paper cerita kata berjiwa rakyat, dekat dengan rakyat. Kadang-kadang sakit hati bila ahli politik dok tayang kekayaan macam rumah, harta, kereta dan bini muda depan rakyat. Rakyat dapat apa?, ekonomi dapat apa?

Aku fikir dorang ni patut turun padang, kalau malas sangat hantar orang tengok apa jadi kat rakyat. Kata wakil rakyat tapi dalam parlimen dok bincang hal merapu-rapu. Aku cakap ni merujuk pada semua pihak yang berpolitik sebab sama je semuanya. Ahli Parlimen tempat aku pun tak penah nampak batang hidung kecuali tiba pilihanraya. Fitnah berapi-rapi padahal masing-masing ada kepentingan bersama. Bila semua ni nak berakhir?..tolongla rakyat yang betul-betul merana..Sekali lagi aku bagitau yang aku bukan menentang tapi meluahkan. Mungkin ada yang dah berjaya hasil usaha sendiri, itu aku ucapkan tahniah. Tapi bagi yang kaya atas dasar kroni dan kabel, malu ler korang dengan diri sendiri. Patutla ramai yang keluar bekerja di luar negara. Kerja keras bagi mencapai cita-cita dalam hidup...

Sekian dari aku...Chow!..Salam.