Ada beberapa masalah yang menimpa peniaga kedai runcit asas tani di negeri ini. Bukan mudah untuk menjadi peruncit barangan pertanian memandangkan terdapat beberapa halangan yang besar.
Isu 1:
Pertama sekali melibatkan agensi kerajaan yang menjual serta membekalkan alatan pertanian untuk para petani. Contohnya seperti KADA dan PELADANG. Agensi seperti ini menjadi pesaing utama kepada peruncit asas tani kerana mereka mampu membekalkan pelbagai jenis barang yang modalnya dibekalkan oleh kerajaan. Namun begitu, ada sesetengah barang yang dibekalkan lebih mahal dari kedai runcit asas tani seperti benih padi. Apabila ramai petani yang merungut tentang harga benih yang mahal, mereka berubah angin untuk membeli di kedai asas tani lain di mana harganya jauh lebih murah. Malangnya, dengan kuasa yang ada, pihak berwajib telah mengeluarkan pekeliling untuk menyekat penjualan benih padi oleh peruncit yang tidak bernaung di bawah agensi kerajaan. Hal ini telah menutup periuk nasi sesetengah peruncit yang tidak mempnyai kuasa atau kabel.
Isu 2:
Selain dari persaingan dari agensi kerajaan, masalah yang dihadapi oleh peniaga adalah keadaan harga yang tidak stabil dan tidak dikawal. Barang-barang tersebut adalah seperti baja, racun, makanan ternakan dan tanah semaian. Ini mungkin masalah paling besar pada peruncit asas tani kerana mereka tidak mempunyai kuasa untuk menyekat kenaikan harga barang ini yang didominasi oleh pengilang dan pengedar yang kebanyakkannya datang dari utara dan barat semenanjung. Harga yang naik pula kadangkala boleh mencecah 100% sehingga boleh menjejaskan modal pusingan peruncit. Untuk memborong barangan tersebut pada harga pukal pula melibatkan kos yang tinggi walaupun pada modal yang paling minimum (lebih kurang RM150000). Ini merupakan faktor utama mengapa hanya ada beberapa syarikat sahaja yang membekal barangan pertanian di negeri Kelantan dan majoritinya masyarakat cina yang sudah lama bertapak dalam bidang ini. Harga barangan ini juga naik pada kadar yang singkat. Contohnya pada hari ini, harga baja ialah RM75 dan dua minggu kemudian harga itu boleh meningkat menjadi RM100 serta RM130 pada minggu seterusnya. Hal ini tidak berhenti begitu sahaja kerana pada bila-bila masa sahaja harga tersebut boleh turun atau naik. Bayangkan jika peruncit membeli pada harga borong RM130 dan pada minggu berikutnya harga tersebut turun menjadi RM100. Adakah petani yang sanggup membelinya? Bagaimana pula nasib peruncit?
Isu 3:
Perkara
Hal ketiga pula adalah mengenai subsidi baja dan peralatan pertanian kepada petani. Subsidi ini kadangkala tidak efisien dan tidak sampai kepada petani yang betul-betul memerlukan. Hasilnya, banyak lebihan baja yang tidak digunakan dan dibazirkan. Kadangkala mereka ini pula yang menjual kembali pada peruncit barang-barang tersebut pada harga yang jauh lebih murah. Selain itu pula, cara pemberian subsidi ini telah melumpuhkan perniagaan peruncit asas tani kerana petani tidak akan membeli barang dari peruncit memandangkan agensi kerajaan dan pihak berwajib yang lain akan membekalkan barangan tersebut kepada mereka. Dicadangkan agar sistem kupon diwujudkan dan setiap petani hendaklah menebus kupon-kupon ini di kedai runcit asas tani kerajaan atau bukan kerajaan. Hal ini akan membolehkan setiap keuntungan dikongsi bersama sama ada peruncit atau petani atau kerajaan yang mana setiap subsidi itu kuranglah pembazirannya.Dengan sistem yang sedia ada, peruncit persendirian berasa kerugian yang besar.
Isu 4:
Isu yang keempat melibatkan birokrasi dari sesetengah agensi kerajaan terutamanya pihak yang membiayai pinjaman. Masalah besar yang dihadapi oleh peruncit apabila pihak pembiaya lambat memberi pinjaman. Contohnya jika peruncit ingin membuat pinjaman sebanyak RM20000 sebagai modal pusingan, pinjaman tersebut memakan masa yang lama untuk diluluskan. Ada sesetengah kes yang berlaku apabila pinjaman diluluskan, nilai modal tersebut susut disebabkan susutnya nilai matawang. Hal ini terjadi disebabkan oleh masalah ekonomi serta inflasi barangan pertanian yang tidak pernah reda. Kesan dari masalah ini, dengan modal RM20000 itu, jumlah barang yang ingin dibeli kurang kuantitinya dari kuantiti asal. Sudahlah pinjaman yang diluluskan lambat, tetapi apabila ingin mengutip hutang selalunya mereka ini datang tepat pada masanya. Bila peminjam menghadapi masalah, mereka bukannya membantu tetapi menyalahkan peminjam walaupun rekod peminjam sangat baik dari segi pembayaran balik pinjaman.
Kesimpulan:
Masalah yang dinyatakan di atas, bukan datangnya dari internet, tapi ini adalah realiti hidup peruncit asas tani. Cukup malang apabila ada sebuah kedai asas tani yang pernah mengecap hasil sehingga RM1000 sehari terpaksa ditutup akibat dari pelbagai masalah luaran yang seperti tiada jalan penyelesaiannya. Sebuah kedai lagi mungkin mengalami nasib yang sama jika tiada tindakan susulan. Pelbagai cara telah difikirkan, pelbagai agensi telah ditemui malangnya tiada yang dapat membantu. Sesiapa yang membaca blog ini aku harap dapat memberikan pendapat dan pandangan kerana mungkin ada idea dari korang yang dapat membantu..sekian..chow!..Salam.
No comments:
Post a Comment