1. David Beckham (Right Winger, LA Galaxy)
Antara sayap kanan yang digeruni dalam Liga perdana Inggeris di mana Beckham mempunyai kelebihan dari aspek ketepatan hantaran lintang dan juga lencongan sepakan percuma yang mampu mengugat penjaga gawang mana-mana pasukan. Memulakan karier bersama Manchester United pada musim 1995/96 di mana ketika itu United berjaya memenangi kejuaraan berganda Liga Inggeris dan Piala FA. Karier Beckham melonjak naik ketika membantu Manchester United menjuarai "treble" Liga Inggeris, Piala FA dan Liga Juara-Juara pada tahun 1999. Hasilnya, Beckham telah dicalonkan sebagai pemain terbaik dunia namun tewas ditangan Rivaldo tetapi mendakap anugerah sebagai pemain terbaik Eropah pada musim yang sama. Dia juga sekali lagi dicalonkan sebagai pemain terbaik dunia pada tahun 2001 namun kali ini sekadar di tempat kedua di belakang Luis Figo. Pada musim 2002/03 dia telah berpindah ke Real Madrid setelah berlaku perselisihan faham dengan pengurus Alex Ferguson. Di Real, Beckham telah menjadi sebahagian dari "Galacticos" disamping Zidane, Ronaldo dan Figo. Setelah 4 tahun yang mengecewakan di Madrid, Beckham telah berpindah ke Major League Soccer (MLS) bersama kelab LA Galaxy. Untuk rekod, Beckham juga telah dipinjamkan ke AC Milan sebanyak 2 kali pada musim 2008/09 dan 2009/10. Bersama England pula Beckham adalah pemain yang mempunyai cap kedua terbanyak setelah 14 tahun bersama "the Three Lions" dan malang baginya kerana tidak dapat beraksi di Piala Dunia 2010 setelah mengalami kecederaan kaki.
2. Gianlugi Buffon (Goalkeeper, Juventus)
Buffon dianggap sebagai penjaga gol terbaik pada abad ini oleh kebanyakkan pemain, penyokong dan wartawan sukan. Memulakan kariernya seawal umur 17 tahun bersama Akademi remaja Parma pada tahun 1995, dan pada tahun yang sama menyertai skuad utama ketika menentang AC Milan. Dia juga adalah antara pemain penting ketika Parma menjuarai kejohanan UEFA cup pada tahun 1999. Semenjak dari itu, dia telah mencipta nama di Eropah sebagai antara penjaga gol yang terbaik dan pada tahun 2001 Juventus telah menyambar Buffon dengan rekod harga sebanyak 32 juta pound. Buffon telah menjadi penjaga gol paling mahal di dunia yang mana sehingga sekarang masih belum ada yang dapat memecahkan rekod tersebut. Buffon membuktikan bahawa nilai yang diletakkan ke atasnya adalah setimpal setelah membantu Juventus memenangi Scudetto dan yang paling utama ialah memastikan gawang Itali hanya dibolosi 2 kali (gol sendiri dan penalti) ketika Itali menjuarai trofi Piala Dunia buat kali keempat. Buffon juga telah banyak mengumpul pingat persendirian antaranya penjaga gol terbaik UEFA, Anugerah Lev Yashin dan juga penjaga gol terbaik dunia IFFHS.
3. Didier Drogba (Striker, Chelsea)
Kekuatan fizikal, teknik kawalan bola serta sepakan padu adalah aset utama Didier Drogba yang seringkali menghantui pertahanan dan pejaga gawang pihak lawan. Mencipta reputasi sebagai antara penyerang terbaik di dunia, Drogba adalah tonggak yang telah banyak membantu Chelsea menjadi antara pasukan yang digeruni di Eropah. Karier awalnya tidak seperti yang diharapkan terutamnya ketika beraksi bersama Le Mans. Namanya mula digeruni ketika umurnya 25 tahun setelah menjaringkan 17 gol bersama Guingamp. Marseille telah membeli Drogba pada musim berikutnya, namun hanya bertahan selama satu musim setelah menerima tawaran sebanyak 24 juta Pound dari Chelsea yang ketika itu dibimbing oleh Jose Mourinho. Dari seorang pemain yang kurang dikenali, Drogba telah menunjukkan kehebatan sebenarnya ketika beraksi di Liga Inggeris setelah membantu Chelsea menjuarai liga 2 kali berturut-turut serta menjadi penjaring ketujuh terbanyak sepanjang zaman di Chelsea. Di arena antarabangsa, Drogba telah membantu Ivory Coast layak ke kejohanan Piala Dunia buat pertama kali pada tahun 2006 setelah menjaringkan 5 gol buat pasukannya. Ivory Coast sekali lagi layak ke Piala Dunia pada 2010 juga dengan bantuan gol dari Drogba dan kali ini sebagai kapten pasukan tersebut. Malangnya bagi Drogba, dia belum pernah merasai kejuaraan utama di Eropah iaitu Liga Juara-Juara walaupun pada musim 2009/10 dia telah membantu Chelsea menjadi juara berganda Liga Inggeris buat kali pertama setelah menjadi penjaring terbanyak liga dengan 28 gol.
4. Samuel Eto'o (Striker, Inter Milan)
Tidak dapat disangkal lagi bahawa Eto'o adalah antara penyerang paling berbisa di dunia dan juga Eropah. Walaupun Eto'o telah banyak membantu kelab seperti Real Madrid, Real Mallorca, dan Barcelona, namanya seringkali tenggelam dan kurang popular dikalangan penyokong kelab-kelab terbabit. Memulakan keriernya bersama Real Madrid pada tahun 1997, Eto'o adalah tonggak yang dianggap tidak penting oleh Les Merengues ketika menjuarai Liga Juara-Juara pada tahun 2000. Eto'o telah dijual ke Mallorca di mana dia telah membantu Mallorca bermain dalam Liga Juara-Juara. Ketika di Mallorca, Eto'o telah menjaringkan 54 gol dalam 133 perlawanan liga (penjaring terbanyak sepanjang zaman Real Mallorca). Namanya mula dikenali ketika bersama Barcelona apabila dia telah menjaringkan gol penting ketika perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah tahun 2006 dan 2009. Disamping itu, gol-golnya juga memberikan Barcelona kejuaraan liga pada tahun 2005, 2006 dan 2009. Kemuncak kariernya hadir pada musim 2008/09 di bawah bimbingan Pep Guardiola apabila menjadi antara penjaring terbanyak La Liga dan menjuarai 6 piala keseluruhan bersama Barcelona pada musim yang sama. Akibat dari sikap penonton yang bersifat perkauman, Eto'o telah berpindah ke Inter Milan pada musim 2009/10. Pada musim pertamanya di sana, Eto'o telah membantu Inter memenangi kejuaraan "treble" buat kali Pertama termasuk Liga Juara-Juara Eropah setelah 45 tahun menunggu. Di peringkat antarabangsa pula, Eto'o juga turut menyerlah setelah memenangi pingat emas Olimpik tahun 2000, 2 kali Piala Afrika, 2 kali penjaring terbanyak Piala Afrika, 3 kali pemain terbaik Afrika dan menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman untuk Cameroon.
5. Steven Gerrard (Center Midfielder, Liverpool)
Stevie G telah menjadi nadi utama pasukan Liverpool sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kariernya bermula pada tahun 1998 bersama Liverpool. Dia menjadi kapten "the Reds" pada tahun 2002 di mana pada tahun-tahun berikutnya, dia telah menyumbangkan pelbagai kejuaraan untuk Liverpool seperti Piala FA Inggeris, Piala UEFA, Piala Super Eropah serta Liga Juara-Juara Eropah. Sumbangan Gerrard yang paling diingati adalah pada tahun 2005 ketika Liverpool berhadapan AC Milan pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah di Istanbul. Gerrard telah mengawal hampir setiap posisi di atas padang walaupun ketinggalan 3-0 pada separuh masa pertama. Dengan masa perlawanan hanya berbaki 6 minit, Gerrard telah menunjukkan semangatnya sebagai kapten pasukan apabila menggerakkan seluruh pasukannya untuk menyamakan kedudukan menjadi 3-3. Liverpool akhirnya memenangi perlawanan tersebut menerusi sepakan penentuan penalti. Kariernya bersama England bermula pada tahun 2000 dan setelah 10 tahun bersama "Three Lions", Gerrard telah diberi kepercayaan untuk menjadi kapten pasukan pada Piala Dunia 2010 menggantikan Rio Ferdinand yang cedera pada saat akhir.
Sekian entry terbaru dari aku, jangan lupa mengundi untuk calon-calon pilihan korang di laman web Golden Foot. Sekian dari aku..chow!..salam.